Pada zaman raja-raja Melayu masih berkuasa, di sekitar
Sumatera Utara yang terdiri daripada beberapa kerajaan, seperti Deli, Serdang,
Asahan, Binjai, Langkat dan lain-lain, sangat ramai melahirkan para ulama besar
yang keilmuan dan kemasyhuran namanya menjangkau ke seluruh dunia Melayu,
kerana di antara mereka juga menghasilkan kitab yang sempat beredar dengan
luasnya. Di antara ulama-ulama yang berasal dari daerah tersebut seumpama
Syeikh Hasanuddin bin Ma'shum, Syeikh
Hasan Ma'shum, Mufti Syeikh Muhammad Isa, Syeikh Abdul Wahhab Rokan, Syeikh
Muhammad Zain Nuruddin bin Syeikh Imam Abbas al-Khalidi Batu Bahara Pasir
Dahari Inderapura, Mufti Haji Muhammad Nur Langkat, Kadi Haji Muhammad Nur bin
Ismail Langkat dan masih ramai lagi.
Di antara sekian ramai ulama yang berasal dari
kerajaan-kerajaan tersebut termasuk juga ulama yang diriwayatkan dalam artikel
ini. Nama lengkapnya ialah Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud. Ayah dan datuk
neneknya berasal dari Talu, Minangkabau. Abdul Hamid dilahirkan di Tanjung
Balai Asahan tahun 1298 H/1880 M. Wafat pada hari Khamis, petang Jumaat pada 10
Rabiulakhir 1370 H/18 Februari 1951 M.
Murid-murid para ulama yang tersebutlah yang mengasaskan
Jam'iyatul Washliyah, iaitu sebuah organisasi Islam yang ditubuhkan di Sumatera
Utara. Jam'iyatul Washliyah berfahaman mengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah pada
pegangan akidah, Mazhab Syafie dalam fikih. Jam'iyatul Washliyah dalam
pegangannya banyak persamaan dengan Persatuan Tarbiyah Islamiyah (PERTI) yang
diasaskan oleh para ulama Sumatera Barat (Minangkabau). Para ulama pengasas
PERTI bersahabat dengan para ulama Sumatera Utara yang tersebut di atas kerana
seperguruan di Mekah, termasuk juga Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan.
Perlu juga dikeahui di sini, bahwa para ulama Sumatera Utara
termasuk juga Syeikh Abdul Hamid bin Mahmud Asahan dan para ulama yang
bergabung dalam PERTI sangat menentang golongan tajdid/reformis, fahaman yang
tidak mengikut mazhab itu dibawa ke dunia Melayu terutama di Minangkabau oleh
sahabat-sahabat mereka juga. Di antara tokoh tajdid di Minangkabau ialah Dr.
Haji Abdul Karim Amrullah (ayah Prof. Dr. Hamka). Beliau mendapat tentangan
hebat daripada sahabatnya, Syeikh Hasan Ma'shum sahabat Syeikh Abdul Hamid bin
Mahmud Asahan. Guru mereka, Syeikh Ahmad al-Fathani ketika itu telah meninggal
dunia, tetapi Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi ketika itu masih hidup. Dalam
peristiwa polemik antara Dr. Haji Abdul Karim Amrullah dengan Syeikh Hasan
Ma'shum, ternyata Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi membenarkan hujah-hujah
yang dikemukakan oleh Syeikh Hasan Ma'shum. Dalam satu tulisan Syeikh Ahmad
Khatib al-Minankabawi mengakui bahawa kedua-dua ulama yang seorang berasal dari
Minangkabau dan yang seorang lagi berasal dari Deli itu adalah sama-sama murid
beliau. Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi dalam tulisannya menyatakan juga bahwa
anak beliau Haji Abdul Karim Amrullah beranggapan bahawa orang lain tidak
pernah faham dengan hujah-hujah yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiyah, padahal
menurut Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, para ulama telah meneliti beberapa
karangan Ibnu Taimiyah, ternyata terdapat kelemahan-kelemahan, maka ramai
golongan ulama Syafi`iyah dan ulama-ulama lainnya menolak hujah-hujah Ibnu
Taimiyah itu.
PENDIDIKAN
Sejak kecil beliau belajar kepada saudara iparnya bernama
Haji Zainuddin, Kadi Asahan. Sesudah itu beliau memperdalam pelbagai ilmu
kepada Syeikh Hasyim Tua dan selanjutnya belajar kepada seorang ulama yang
paling terkenal di Asahan ketika itu, beliau ialah Syeikh Muhammad Isa, Mufti
Kerajaan Asahan di Tanjung Balai Asahan. Setelah beberapa tahun belajar kepada
Syeikh Muhammad Isa, beliau menganjurkan supaya Abdul Hamid melanjutkan
pelajarannya ke Mekah kerana pada firasatnya Abdul Hamid merupakan bumi yang
subur untuk persemaian ilmu-ilmu yang ada pada para ulama. Ketika sampai di
Mekah, beliau terus diterima belajar dalam halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani,
tetapi hanya sekitar dua tahun saja kerana Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal
dunia (1325 H/1908 M).
Walaupun perasaan sedih sangat sukar dihilangkan, namun
Abdul Hamid tiada kehilangan pedoman. Beliau terus memasuki halaqah pengajian
beberapa ulama, di antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif
Minangkabau, Syeikh Muhammad bin Ismail, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh Wan
Ali Kutan al-Kalantani, Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, Tok Cik Wan Daud al-Fathani, dan ulama-ulama
yang berasal dari dunia Melayu lainnya. Abdul Hamid juga belajar kepada
beberapa ulama Arab, di antaranya ialah Sayid Abdullah az-Zawawi.
Pembelajarannya terganggu disebabkan terjadi perang dunia pertama (1914 M -
1918 M). Abdul Hamid terpaksa pulang ke tanah kelahirannya Tanjung Balai
Asahan.
Kemungkinan Abdul Hamid Asahan turun dari Mekah bersama
gurunya Sayid Abdullah az-Zawawi dalam peristiwa diburu oleh pihak yang
mengikut pegangan Muhammad bin Abdul Wahhab, bahawa Mufti Mekah Sayid Abdullah
az-Zawawi bersama muridnya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani. Sayid Abdullah
az-Zawawi seterusnya ke Riau dan terakhir sekali dilantik menjadi Mufti
Kerajaan Pontianak. Di antara ulama yang seangkatan dengan Abdul Hamid Asahan
(lahir 1298 H/1880 M) ketika belajar di Mekah ialah Haji Muhammad Nur bin Ismail
(lahir 1296 H/1879 M), Kadi Langkat yang lebih tua sekitar lebih setahun saja
daripada beliau. Syeikh Muhammad Zain Nuruddin bin Syeikh Abbas al-Khalidi Batu
Bahara Pasir Dahari Inderapura juga seangkatan dengan Abdul Hamid Asahan tetapi
Syeikh Muhammad Zain Nuruddin tidak sempat belajar kepada Syeikh Ahmad
al-Fathani, kerana sewaktu beliau sampai ke Mekah Syeikh Ahmad al-Fathani telah
meninggal dunia.
Selain seangkatan dengan kedua-dua orang ulama tersebut,
Abdul Hamid Asahan juga seangkatan dengan beberapa ulama dunia Melayu yang
berperanan di negeri-negeri kelahiran mereka atau di tempat-tempat lain yang
ditujunya. Mereka ialah; Abu Bakar bin Hasan al-Muari (lahir 1292 H/1875 M),
Syeikh Muhammad Said bin Syeikh Jamaluddin Linggi (lahir 1292 H/1875 M), Tengku
Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani (lahir 1293 H/1876 M), Ismail
bin Abdul Majid (lahir 1293 H/1876 M, Umar bin Cik Ahmad Besut, Terengganu
(lahir 1295 H/1878 M) dan masih ramai lagi.
AKTIVITAS DI ASAHAN
Sekitar dua tahun selepas perang dunia pertama, tepatnya
pada tahun 1916 M, Syeikh Abdul Hamid dan kawan-kawan mendirikan Madrasah
'Ulumil 'Arabiyah, sekaligus beliau adalah sebagai mudirnya yang pertama.
Dari hari ke hari nama Abdul Hamid tambah masyhur dalam
kerajaan Asahan, bahkan seluruh Sumatera Timur. Dalam tahun 1930 M Abdul Hamid
dikirim oleh kerajaan Asahan mengunjungi Mekah dan Mesir. Di Mekah, Abdul Hamid
mendapat kehormatan sebagai anggota pemeriksa Ma'ahad Su'udiyah, sebuah sekolah
tinggi di kerajaan Saudi pada zaman itu.
Madrasah Ulumil Arabiyah adalah termasuk pusat pendidikan
Islam penting di Asahan, bahkan termasuk di antara madrasah yang terkenal di
Sumatera Utara yang seganding dengan Madrasah Islam Stabat, Langkat, Madrasah
Islam Binjai, Madrasah al-Hasaniyah Medan dan lain-lain. Sangat ramai ulama
besar Sumatera Utara yang belajar di madrasah-madrasah tersebut, di antara
mereka yang sangat terkenal seperti Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis (lahir
Ramadan 1326 H/Oktober 1908 M, wafat 25 Jamadilawal 1392 H/6 Julai 1972 M).
Syeikh Muhammad Arsyad Thalib Lubis melibatkan diri dalam banyak aktivitas, di
antaranya sebagai seorang pendidik mulai daripada golongan rendah sampai yang
tertinggi, menghasilkan banyak karangan dalam pelbagai bidang ilmu, tokoh yang
mampu berdialog/berdebat dengan pihak Kristian dan banyak lagi. Ulama besar dan
tokoh ini belajar di Madrasah Ulumil Arabiyah yang diasaskan oleh Abdul Hamid
Asahan tersebut dalam tahun 1923 M - 1924 M. Dipercayai beberapa orang ulama
Sumatera Utara terkenal yang seangkatan dengan Syeikh Muhammad Arsyad Thalib
Lubis juga pernah belajar kepada Abdul Hamid Asahan. Di antara mereka seperti;
Zainal Arifin Abbas, Al-Ustaz Abdul Halim Hasan, Abdul Rahim Haitami dan
lain-lain.
PENULISAN
Menjelang perang dunia kedua, sekitar tahun 1930an, Abdul
Hamid menyelesaikan beberapa buah karangan, yang dapat diketahui ialah:
1. Ad-Durusul Khulasiyah, pernah dicetak di Mekah.
2. Al-Mathalibul Jamaliyah, pernah dicetak di Mekah.
3. Al-Mamlakul `Arabiyah.
4. Nujumul Ihtiba.
5. Tamyizut Taqlidi minal Ittiba.
6. Al-Ittiba.
7. Al-Mufradat.
8. Mi'rajun Nabi.
Selain mengarang
kitab, Abdul Hamid juga pernah menerbitkan majalah bahasa Arab dan Melayu yang
diberi judul Majallah `Ulumil Islamiyah. Majalah ini tidak berumur panjang,
hanya dua kali terbitan dalam tahun 1939 M. Di dalamnya terdapat
tulisan-tulisan Syeikh Mustafa al-Maghari, Syeikhul Azhar, Mesir, Syeikh Abdul
Quddus, guru Madrasah Ulumis Syar'iyah Madinah.
Syaikh Abdul Hamid Asahan termasuk salah seorang ulama besar
Sumatera Utara, walaupun ilmu beliau dalam pelbagai bidang namun tetap bertahan
dalam golongan Ahlus Sunnah wal Jama'ah aliran Imam Abu Hasan al-Asy'ari dan
Imam Abu Mansur al-Maturidi dalam pegangan akidah, pengikut yang setia kepada
Mazhab Syafie dalam fikih dan dalam ajaran tasawuf berpegang dengan
imam-imamnya yang muktabar seperti Syeikh Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali
dan lain-lain. Pemikiran tokoh tajdid/ reformis dalam karya-karya mereka
sebagai perbandingan bukan menjadi satu pegangan asas akidah dan amalan.
Maaf..foto yang di published itu foto KH. Abdul Hamid bin Abdulloh Umar dari Pasuruan seorang waliyulloh yang meninggal kira-kira 1985...mohon diganti yaa supaya tidak salah kaprah..
ReplyDelete